suria

RPK: Polis Mahu Anuar Shaari Tampil Beri Kerjasama

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari diminta tampil memberi kerjasama dengan pihak polis jika mempunyai sebarang maklumat yang berkaitan bagi mengesan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin (RPK).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Anuar perlu menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkan maklumat yang ada bagi membantu polis.

"Kalau dia ada maklumat, tampil kepada pihak polis... jangan guna media (untuk salurkan maklumat)," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Anuar mengenai Aasil Kazi Ahmad, seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) berketurunan Pakistan yang dikatakan mampu membantu polis mengesan Raja Petra.

Anuar mendakwa, lelaki terbabit, dipercayai secara berterusan masih berhubung dengan Raja Petra yang kini melarikan diri ke luar negara.

Selain itu Ismail berkata, tindakan Anuar menghebahkan maklumat berkenaan secara umum melalui media boleh mengganggu siasatan polis.

"Kalaulah maklumat itu benar, ia boleh ganggu siasatan kerana semua orang dah tahu," katanya.

Menurut Ismail lagi, pihak polis akan menyiasat semua petunjuk dan maklumat yang ada bagi mengenal pasti kedudukan Raja Petra.

"Bantu kita beri maklumat secara rasmi... kita akan siasat maklumat-maklumat berkenaan," katanya.

Sehingga kini polis percaya Raja Petra berada di luar negara dan keluar menggunakan dokumen haram.

Sebelum ini, Raja Petra dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan ke atasnya pada 23 April dan 25 Mei tahun lalu, kerana gagal mengikuti perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau dituduh menerbitkan artikel Let's Send the Altantuya Murderers to Hell dalam laman www.malaysia-today.net bertarikh 25 April 2008, selain dituduh memfitnah Rosmah dan dua yang lain dalam akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta 18 Jun tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain