suria

Muhyiddin Yakin Kota Siputeh Tidak Akan Terpinggir

KODIANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin Kota Siputeh tidak akan terpinggir daripada arus pembangunan kerana penduduknya masih mengutamakan perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri bangga dengan semangat perpaduan yang kental di kalangan penduduk terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh itu dalam pelbagai kegiatan.

Berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat Kedah di Kota Siputeh dekat sini hari ini, beliau berkata, pembangunan akan tetap mengalir di kawasan masyarakat yang mengutamakan perpaduan.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengatur program yang bertujuan mengesan masalah masyarakat dengan pemimpin di peringkat nasional turut turun ke padang.

Antaranya melalui program Juara Rakyat yang menyaksikan lebih 20,000 penduduk Kota Siputeh turut menyertainya dalam pelbagai kegiatan, tambah beliau.

Kota Siputeh kini menjadi perhatian sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap status Ketua Umno bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarip sama ada akan kekal sebagai wakil rakyat kawasan DUN itu atau pilihan raya kecil diadakan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, kerajaan juga sentiasa memikirkan masalah yang dihadapi masyarakat luar bandar dan bandar.

Katanya di Kuala Lumpur, kerajaan sentiasa melihat masyarakat yang hidup di rumah-rumah flat yang tidak selesa dan sering berhadapan dengan masalah lif.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin kawasan Kota Siputeh.

Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Abu Hassan.

Sementara itu lewat petang tadi, Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafei Apdal yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah serta Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berlepas pulang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain