suria

Kerajaan Negeri Buat Laporan Polis Terhadap DPMMPP

PULAU PINANG: Kerajaan negeri membuat laporan polis terhadap Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) kerana tuduhan membuat kenyataan palsu mengenai kerajaan negeri.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo yang mewakili kerajaan negeri berkata DPMMPP menuduh kerajaan negeri mengamalkan diskriminasi dengan menganiaya peniaga-peniaga Melayu.

"Kenyataan oleh DPMMPP adalah fitnah dan berniat mencetuskan sentimen perkauman kerana Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Pengurusan Lalulintas Chow Kon Yeow telah menjelaskan perkara ini berdasarkan statistik daripada pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut meminta polis untuk menyiasat sama ada kenyataan yang dikemukakan DPMMPP sebelum ini merupakan kenyataan palsu atau fitnah jenayah terhadap kerajaan negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Semalam sebanyak 30 badan bukan kerajaan Melayu yang dikenali sebagai 'Gabungan Sedaq' telah mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri bagi menyampaikan rasa kurang senang terhadap layanan yang diberikan kepada peniaga-peniaga Melayu.

Perhimpunan yang bermula pada pukul 12 tengah hari di tempat letak kereta bersebelahan Masjid Simpang Enam itu disertai lebih 3,000 penyokong, gabungan itu bagaimanapun gagal menyerahkan memorandum berkenaan kerana Lim enggan berjumpa mereka.

Perhimpunan yang diketuai Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali itu turut disertai DPMMPP. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain