suria

Ulama Diseru Tuntas Dalam Transformasi Kefahaman

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyeru para ulama supaya tuntas dalam melaksanakan transformasi dan memahami secara mendalam pengertian terminologi yang berkaitan dengan politik antarabangsa, serantau dan peringkat nasional.

"Ia termasuklah berkaitan globalisasi, neo-kolonialisme atau imperialisme dan skala pengaruh gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik dan ekonomi umat.

"Tanpa kefahaman yang mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan," katanya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama Ulama dan Umara, di sini.

Untuk itu, katanya, warga ulama wajar menjadi warga dunia yang saling berkait, paling hampir dengan sumber terkini, dan menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir.

Memberi contoh institusi zakat, Najib berkata ia boleh ditransformasikan formulanya dalam memperkasa sistem kutipan secara lebih aktif, efisien dan holistik di setiap negeri.

"Jika hasil kutipan lebih meningkat tinggi, ianya akan membantu meningkatkan kuantiti bantuan terhadap pelajar miskin, warga tua yang tiada pendapatan tetap dan orang kurang upaya yang tidak berkemampuan."

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ulama juga wajar duduk semeja bagi menangani krisis ekonomi global, memberi pandangan, dan merumuskan dasar-dasar ekonomi yang lebih adil, Islamik, dan melindungi nilai moral dan kemanusiaan.

"Selain itu, ulama harus bersikap proaktif bagi mengukuhkan budaya murni dan harmoni dalam lapangan politik, teknologi, dan informasi demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan di luar negara," katanya.

Bagi pihak masyarakat pula, Najib mahu supaya mereka sentiasa berdamping dengan ulama, mempelajari, dan menimba ilmu dari ulama.

"Jika timbul sesuatu isu dan tuduhan berkaitan isu agama, hendaklah terus bertemu atau menghadiri majlis penerangan dan penjelasan bagi mengetahui perkara sebenar dan bukan pergi mencari dari sumber yang tidak diketahui asas dan kebenarannya.

"Untuk itu, para ulama mestilah konsisten mempersiapkan diri dengan mengikuti perkembangan semasa, tekun mengaji, dan memahami betul-betul sesuatu perkara yang baru timbul," katanya.

Ia bagi menangani sesuatu perkara itu dengan baik dan dapat mengeluarkan fatwa atau pandangan yang selaras dengan zaman dan bertepatan dengan Syariah Islam tanpa menimbulkan kontroversi dalam masyarakat, katanya.

Sebagai ejen pelaksana, Najib berkata, Umara pula harus sentiasa bersikap tegas dan amanah dalam menjalankan dasar-dasar yang dipersetujui, adil dan bertimbang rasa terhadap seluruh rakyat yang dipimpinnya.

"Umara harus mampu menterjemahkan prinsip Islam dalam pentadbiran negara sama ada di peringkat individu atau masyarakat."

Perdana Menteri turut mengadakan dialog tertutup bersama para ulama dan umara selepas melancarkan Gagasan 1Malaysia dan Logo 1Ummah peringkat agensi-agensi agama seluruh Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain