suria

Skuad Sayang BN Perak Guna Konsep "Jom Cari Kawan" Dekati Rakyat

IPOH: 'Skuad Sayang BN' negeri Perak yang dilancarkan hari ini akan menggunakan konsep 'Jom Cari Kawan' untuk Barisan Nasional (BN) terus mendekati rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Perak akan menjadi negeri penanda aras bagi kebangkitan Wanita BN dengan pelancaran 'Skuad Sayang BN' itu.

"Kita perlu ada komitmen dan tunjukkan bahawa kita (BN) tidak gentar walaupun dalam apa jua krisis dan keadaan provokatif serta propaganda yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

"Saya percaya, semangat bekerja wanita BN amat kuat walau dalam apa jua keadaan. Walaupun terpaksa berdepan dengan maki-hamun dan cacian, mereka pasti berjaya sekiranya menggunakan konsep 'Jom Cari Kawan' ini," katanya ketika melancarkan Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno dan 'Skuad Sayang BN' Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata untuk mengembalikan keyakinan rakyat, BN perlu bersatu dan bergerak dalam satu pasukan yang mempunyai komitmen dan matlamat yang sama melalui gabungan parti di bawah BN bagi menguatkan lagi jentera Skuad Sayang untuk berdepan dengan agenda pembangkang.

Sementara itu, sempena setahun menerajui Perak hari ini, Zambry turut menyeru rakyat di negeri ini agar bersama-sama beliau membangunkan Perak dengan semangat yang baru.

Katanya bermula tahun ini juga, kerajaan negeri akan menekankan kepada aspek pengurusan berteraskan hasil dan tidak mahu hanya bersifat terlalu banyak perancangan tetapi ia tidak mencapai matlamat.

"Kita tidak boleh berterus-terusan berpolitik secara keterlaluan. Budaya ini hanya akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem politik negara.

"Saya mahu kita berganding bahu membangunkan Perak. Saya seru kepada rakyat supaya bersama saya dengan semangat baru dan menjadi satu pasukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain