suria

Operasi Buru Majikan Gaji PATI, 15 Februari Ditangguhkan

PUTRAJAYA: Operasi besar-besaran memburu majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) pada 15 Februari ini, ditangguhkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan keputusan itu selepas menemui 31 wakil dewan perdagangan dan persatuan Cina semalam.

Keputusan itu dibuat katanya, bagi membolehkan perayaan Tahun Baru Cina berjalan dengan lancar.

Jabatan Imigresen sebelum ini mengumumkan tindakan keras akan diambil terhadap ribuan majikan di seluruh negara yang melindungi dan menggaji PATI.

Terdapat kira-kira 1.8 juta pekerja asing berdaftar di negara ini dan jabatan itu percaya terdapat jumlah yang sama untuk pekerja asing tidak berdaftar.

Jabatan Imigresen menerima banyak permintaan yang menggesa agar operasi itu ditangguhkan ekoran ia dijadual bermula pada hari kedua Tahun Baru Cina ketika perniagaan adalah laris dan keuntungan banyak diperolehi.

Ditanya mengenai punca operasi itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak spesifik, Hishammuddin berkata, ia adalah kaedah kementeriannya menilai komitmen pihak majikan.

"Kami memerlukan komitmen mereka menyediakan maklumat lengkap tentang bilangan pekerja asing yang digaji oleh mereka, dan juga memberikan justifikasi mereka untuk menggaji pekerja asing.

"Dengan itu, kementerian boleh merumuskan penyelesaian untuk mengatasi isu pengambilan pekerja asing di negara ini sekali gus beransur-ansur mengurangkan bilangan mereka," jelasnya.

Artikel Lain