suria

MOSTI Anjur Karnival Inovasi Sepanjang Tahun Ini

SHAH ALAM: Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menganjurkan karnival inovasi sepanjang tahun ini bagi menggiatkan budaya kreativiti dan inovasi di kalangan pihak industri dan pelbagai lapisan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata karnival sedemikian akan diadakan di koridor-koridor pembangunan ekonomi di dalam negara dan akan dimulakan di Perlis pada 27 dan 28 Februari ini yang termasuk dalam lingkungan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Program seumpama ini merupakan antara 200 program yang dijalankan oleh 15 kementerian termasuk MOSTI sempena program Malaysia Inovatif 2010 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas, katanya di dalam satu sidang media selepas Majlis Ulang Tahun ke 10 CSL Manufacturing (M) Sdn Bhd di sini, malam tadi.

"Pertandingan akan diadakan secara menyeluruh dengan pelbagai jenis inovasi dan kreativiti termasuk biotek dengan kementerian akan membelanjakan RM1 juta untuk anugerah sepanjang tahun ini.

Ditanya mengenai insentif yang bakal diberikan kerajaan kepada syarikat-syarikat yang kreatif dan inovatif, Dr Ongkili berkata kementeriannya sedang merangka Dasar Inovasi Malaysia yang akan merangkumi dasar yang lebih berkesan dan bentuk-bentuk insentif yang bakal diberikan.

Beliau berkata syarikat-syarikat inovatif dan kreatif perlu diberikan insentif dalam bentuk pengurangan cukai bagi menggalakkan mereka mencipta produk-produk baru.

Katanya walaupun masih belum ada insentif khusus untuk syarikat-syarikat yang kreatif dan inovatif ini, mereka masih boleh mendapat insentif cukai sedia ada bagi syarikat-syarikat yang baru beroperasi, katanya.

Ongkili berkata kreativiti tidak semestinya di dalam bentuk teknologi sahaja tetapi dalam bentuk kandungan seperti dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Beliau berkata sebagai contohnya, usaha meningkatkan sasaran penggunaan jalur lebar di seluruh negara kepada 50 peratus pada penghujung tahun ini bukan sahaja memerlukan penyediaan prasarana yang diperlukan tetapi kandungan di dalam teknologi maklumat perlu menarik, bagi meningkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai laporan yang menyatakan kemungkinan kedudukan Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-31 dalam industri paten akan jatuh, beliau yakin kedudukan itu akan dapat berkata walaupun ada pihak mengatakan usaha mengekalkannya agak mencabar.

Ongkili berkata beliau optimis apabila tiba masanya apabila syarikat Malaysia menghadapi kesukaran di dalam perniagaan, mereka akan mencari jalan keluar atau mencipta kaedah baru untuk mengurangkan kos operasi, mempertahankan dan meningkatkan margin keuntungan mereka.

CSL adalah syarikat pembuat telefon tempatan yang kini menguasai 18 peratus daripada pasaran telefon bimbit menerusi rangkaian telefon bimbitnya yang dilengkapi dengan televisyen, radio, pemain muzik MP3, kamera, permainan dan papan kekunci QWERTY. - BERNAMA

Artikel Lain