suria

Krisis Pulau Pinang Pamer Ketidakupayaan Pakatan Mentadbir Negeri, Kata Koh

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dikritik secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin pakatan PAS, PKR dan DAP, jelas menunjukkan ketidakupayaan pakatan itu mentadbir negeri dan kegagalannya mendahulukan kepentingan rakyat, kata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Koh berkata tugas-tugas mentadbir negeri atau negara tidak boleh bergantung hanya kepada slogan dan syarahan untuk rakyat semata-mata, tanpa sebarang usaha untuk pergi ke peringkat akar umbi dan mendengar masalah mereka.

Beliau berkata pemimpin perlu berusaha menangani masalah yang ditampilkan di hadapannya, memberi tumpuan kepada usaha mentadbir, dan bukan sering bertekak.

"Jadi saya rasa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua yang sedang mentadbir, atau cuba untuk mentadbir," kata Dr Koh kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam dan majlis pemberian ang pow kepada kira-kira 800 warga tua, anak yatim dan orang kurang upaya, sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gerakan bahagian Segambut dan Persatuan Kebajikan Segambut di sini malam semalam.

Koh berkata demikian sebagai mengulas kritikan pedas yang dilemparkan terhadap Lim oleh pemimpin beberapa parti politik, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR), antaranya Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dari PKR dan Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng juga dari PKR, yang menggesa Lim meletak jawatan sebagai Ketua Menteri. - BERNAMA

Artikel Lain