suria

Kerajaan Uruguay Temui 2 Enjin Jet F-5E

KUALA LUMPUR: Kerajaan Uruguay memaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa dua enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang telah ditemui.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, kerajaan yang bersungguh-sungguh menangani kes itu sedang mengambil langkah perlu bagi mendapatkan kembali dua enjin berkenaan yang dilaporkan hilang sejak tahun 2007 setelah menerima makluman daripada kerajaan Uruguay tentang penemuannya.

"Kejayaan yang dicapai setakat ini, hingga membawa kepada penemuan dua enjin jet milik TUDM itu, adalah hasil usaha dan kerjasama rapat antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Uruguay," kata beliau dalam kenyataan di sini semalam berhubung perkembangan terkini enjin jet yang dicuri itu.

Abdul Gani berkata, sebagai pemilik sah enjin jet yang dicuri itu, kerajaan juga menghubungi Kedutaan Uruguay di sini selain Badan Penasihat Pusat bagi Bantuan Perundangan Bersama Uruguay dan telah memberi notis awal berhubung penemuan semula serta penghantaran enjin berkenaan melalui bantuan bersama dalam rejim hal berkaitan jenayah.

"Langkah itu sejajar dengan Akta Bantuan Bersama Berkaitan Hal-hal Jenayah 2002 dengan Malaysia meminta bantuan pihak berkuasa Uruguay bagi mengesahkan lokasi enjin-enjin berkenaan ditemui sebelum membawanya pulang," kata beliau,

Abdul Gani juga menyatakan penghargaan beliau terhadap Kedutaan Uruguay di sini khususnya Duta Besar, Pablo Sader atas segala bantuan kepada Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia, yang membawa kepada penemuan semula enjin yang dicuri itu.

Artikel Lain