suria

JKN Tahan Warga Emas Jual Rokok Putih Bernilai RM19,296

KEPALA BATAS: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang menahan seorang warga emas dan merampas pelbagai jenis rokok putih yang dipercayai diseludup bernilai RM19,296 di sebuah kedai runcit di Pasar Basah di sini Khamis lepas.

Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKN Idris Mohamed berkata dalam serbuan kira-kira pukul 8 pagi, pihaknya berjaya merampas 3,015 kotak rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai di seludup dari negara jiran.

"Kejayaan itu hasil risikan dan intipan yang dibuat sejak beberapa seminggu lepas dan dalam serbuan itu kita menahan pemilik kedai runcit berusia 70 tahun.

"Warga emas berkenaan menjual rokok pelbagai jenama dengan harga murah berbanding harga yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya di sini hari ini.

Idris berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan di kedai berkenaan, pihaknya menemui rokok-rokok berkenaan disimpan di kedai runcit dan sebahagian lagi di rumah lelaki terbabit.

"Kesemua rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran kerana tidak tertera logo dilarang merokok serta logo cegah kanser sepertimana sepatutnya ada pada semua kotak yang dijual di Malaysia," katanya.

Idris berkata pihaknya percaya kedai berkenaan dijadikan tempat transit sebelum rokok terbabit diedarkan untuk pasaran tempatan.

Katanya kes itu disiasat menurut Peraturan 8 dan 15 (Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Semasa 2004) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun.

"Kita akan terus menjalankan intipan dan risikan bagi mencegah penjualan rokok yang diseludup dan kita difahamkan masih terdapat pekedai yang melakukan kesalahan berkenaan dengan tujuan mengaut keuntungan segera," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain