suria

Indeks Kematian Akibat Kemalangan Jalan Raya Turun

KUALA LUMPUR: Indeks kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia tahun lepas menunjukkan penuruan dengan kadar 3.55 kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar, berbanding 3.63 pada 2008.

Mengikut Laporan Status Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Keselamatan Jalan Raya, Malaysia berada pada kedudukan ke-46 daripada 172 negara di seluruh dunia.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata Malaysia hampir mencapai kedudukan dalam kelompok teratas bersama-sama dengan banyak negara berprestasi tinggi dalam mencatat kematian yang rendah bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

"Setiap tahun, kerajaan membelanjakan berjuta ringgit untuk menjadikan jalan raya kita selamat dan dalam hal ini, kita menunjukkan hasil yang semakin baik," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Ong berkata statistik yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Kemalangan Jalan Raya Malaysia (Miros), juga menunjukkan pendekatan yang dilaksana kerajaan menunjukkan hasil yang baik. Beliau berkata selaras dengan amalan antarabangsa, Miros dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tiga petunjuk utama keselamatan jalan raya.

Ia adalah indeks prestasi yang meliputi jumlah kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar, bagi satu bilion kilometer perjalanan kenderaan dan bagi 100,000 penduduk, yang kesemuanya bertambah baik pada 2009.

Ong berkata pada 1989, jumlah kenderaan berdaftar ialah 4.15 juta dan ia meningkat kepada 19.02 juta tahun lepas.

Sebagai perbandingan, beliau berkata terdapat 75,626 kes kemalangan jalan raya pada tahun 1989 dan jumlah itu meningkat kepada 397,330 pada 2009.

"Jumlah kematian menunjukkan peningkatan yang agak perlahan iaitu dari 3,773 kepada 6,745 dalam tempoh yang sama, menandakan keselamatan jalan raya kita bertambah baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain