suria

Ekonomi Negara Dijangka Pada Tahap Melegakan Tahun Ini

ALOR SETAR: Pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat ke tahap yang melegakan berikutan petanda-petanda baik pemulihan ekonomi dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, antara petanda baik itu ialah jumlah eksport negara terutamanya dari sektor pembuatan yang telah meningkat ke negara China.

"Kita berharap pertumbuhan ekonomi adalah di antara lima dan enam peratus tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Choong Hwa di Kodiang dekat sini.

Beliau berkata, selain nilai peningkatan eksport, kenaikan harga minyak dunia juga telah meningkatkan pendapatan negara.

Pada akhir tahun lepas, defisit ekonomi negara telah dikurangkan sebanyak satu peratus berbanding defisit sebanyak tiga dan empat peratus pada awal 2009.

Kerajaan tahun lepas turut memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM67 bilion untuk merangsang ekonomi negara.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan mengumumkan model ekonomi baharu negara sebagai usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sehubungan itu rakyat dari semua kaum diminta bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan lagi ekonomi negara.

Katanya, perpaduan dan kerjasama rakyat adalah penting untuk kestabilan ekonomi.

"Negara ini membuka peluang yang sama kepada semua kaum, jika ada kaum Cina yang berjaya kerana berusaha bersungguh-sungguh, tiada siapapun yang patut mempertikainya, begitu juga jika kaum Melayu dan kaum lain yang berjaya, tiada siapa juga yang patut pertikaikan, peluang (untuk berjaya) untuk semua adalah sama sahaja," kata beliau.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan kemudahan asas sekolah tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain