suria

Dua Lelaki Yang Menyamar Polis Terlibat Dalam Kes Cabul Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang menyamar sebagai polis dan mencabul kehormatan dua wanita di ibu negara ditahan pada 22 dan 23 Januari lepas di Chow Kit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata kedua-dua suspek, yang berumur 29 dan 30 tahun, mempunyai tiga rekod jenayah yang sama selain kes rogol dan curi di Serdang dan Kajang.

Mangsa terbaru, seorang remaja 19 tahun yang tidak bekerja, membuat laporan polis pada 12 Januari lepas bahawa dia dicabul oleh dua lelaki.

"Dalam kejadian pada 12 Januari lepas, kedua-dua suspek menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemeriksaan ke atas wanita terbabit.

"Mereka yang mempunyai kad kuasa polis palsu telah membawa wanita berkenaan ke sebuah rumah di Sri Hartamas dengan menunggang motosikal yang dipercayai dicuri sebelum mencabul kehormatan wanita berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah 'Balik Kampung' di Jalan Bukit Bintang di sini hari ini.

Kedua-dua suspek disiasat untuk kes rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Muhammad Sabtu meminta orang ramai yang akan pulang bercuti di kampung halaman sempena perayaan Tahun Baru Cina minggu depan supaya memaklumkan ketiadaan mereka.

"Pemilik kediaman, kilang dan premis perniagaan perlu memberitahu polis jika mereka tiada di rumah atau operasi perniagaan mereka ditutup sempena raya Cina," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi polis di talian 03-21159999 dengan memberitahu nama, alamat serta tempoh kediaman atau premis perniagaan ditinggalkan.

Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pula boleh dihantar dengan menaip POLISKL BK Nama No Kad Pengenalan Alamat Tarikh Pergi/Balik dan hantar ke 32728.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye mengingatkan masyarakat supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada penjenayah melakukan jenayah.

"Bagi memudahkan kerja polis melakukan rondaan dan pemantauan, saya menasihatkan orang ramai yang akan pulang bercuti supaya memaklumkan ketiadaan mereka lebih awal kepada polis," kata Lee. - BERNAMA

Artikel Lain