suria

Angkuh, Cauvinis dan Perkauman Punca Masalah Pakatan Rakyat - Zulkifli Noordin

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin secara peribadi berpendapat punca masalah Pakatan Rakyat adalah sifat angkuh, cauvinis serta perkauman pucuk pimpinan DAP.

Menurutnya, punca tersebut turut membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

"Itu adalah aduan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Yang Berhormat (YB) Hee (Yit Foong), YB Jamaludin (Mohd Radzi) dan YB (Mohd) Osman (Jailu). Apabila mereka mengadu menggunakan saluran parti, tiada apa-apa yang berlaku.

"Hakikatnya, seperti biasa, mereka dicap sebagai ejen Barisan Nasional. Sepatutnya mereka menyelesaikan masalah bukannya tidak mengendahkan aduan tersebut," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, ini terbukti dengan cara Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dan kumpulannya menyelesaikan masalah di negeri itu.

Katanya, Lim melabelkan ahli-ahli PR yang mengkritik mereka sebagai ejen BN, pelampau, pengganas malah menyatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) "penuh dengan sampah!"

"Sekiranya mereka tidak mendapat apa-apa yang dikehendaki, mereka akan menggertak kami seperti yang berlaku di Kedah.

"Dan jika kami mengkritik mereka, mereka akan mencabar kami supaya meninggalkan PR," ujarnya.

Di Selangor, Zulkifli memberitahu, kekacauan politik sedang bergolak dan menanti untuk 'meletup' pada bila-bila masa saja.

Jelasnya, ini kerana sikap angkuh dan cauvinis beberapa wakil DAP yang tidak menghormati speaker, komrad mereka sendiri.

"Terdapat satu ungkapan terkenal yang heboh diperkatakan di sekitar bandar Selangor iaitu, 'jika anda ingin memastikan sesuatu perkara dilakukan, tidak perlu jumpa Menteri Besar, hanya jumpa wakil-wakil DAP tertentu dan semua selesai'," katanya.

Zulkifli bimbang rakyat akan menolak PR sekiranya keadaan sedemikian berterusan kerana mereka tidak melihat apa-apa dilakukan oleh kerajaan PR.

Apa yang mereka lihat, katanya, ialah permainan menyalahkan pihak lain.

"Apa-apa salahkan kerajaan terdahulu. Salahkan orang lain kecuali diri sendiri bagaimanapun, yang telah kita lakukan.

"Semua perkara dipolitikkan. Malah pihak berkuasa ingin menyiasat tindakan jenayah beberapa ahli PR turut dipolitikkan," katanya.

Tambah Zulkifli, permainan politik ini telah membinasakan wakil rakyat dalam PR yang jujur, telus, tidak berpolitik serta cuma ingin melaksanakan tanggungjawab mereka.

Lebih buruk lagi, katanya, sikap angkuh dan cauvinis pemimpin DAP ini memberi ruang kepada Umno atau BN mengambil kesempatan serta mengeksploitasi kelemahan pakatan itu.

"Kita telah melihat ia berlaku di Perak. Sekiranya tidak berhati-hati, ia akan berlaku lagi. Jika ia berlaku, kita hanya mampu menyalahkan diri kita sendiri," katanya.

Artikel Lain