Tiga Ditahan Miliki Pistol Tiruan, Kad Kuasa Polis - Semasa | mStar

Tiga Ditahan Miliki Pistol Tiruan, Kad Kuasa Polis

KOTA BHARU: Polis menahan tiga orang termasuk sepasang suami isteri yang memiliki pistol tiruan jenis Pietro Beretta dan salinan kad kuasa polis di sebuah rumah di Taman Mutiara di sini malam tadi.

Kesemuanya disiasat atas kesalahan cuba menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, ketiga-tiganya ditahan pada 11.20 malam dalam operasi mencegah jenayah di kawasan perumahan tersebut.

"Kedua-dua lelaki ini mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya dan Akta Pengangkutan Jalan.

Suspek pertama yang ditahan berumur 49 tahun katanya, iaitu suami kepada wanita yang turut ditahan tersebut dan dia memiliki salinan kad kuasa polis.

"Suspek berkenaan sebelum ini mempunyai rekod jenayah di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Pengangkutan Jalan," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga Sri Berlian di sini, hari ini.

Mazlan berkata, salinan asal kad kuasa polis itu didapati adalah milik seorang anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kota Baharu dan anggota itu juga didapati positif dadah.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki yang ditahan berusia 39 tahun yang turut mempunyai dua rekod jenayah lalu, iaitu berkaitan Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata, wanita terbabit yang berumur 36 tahun masih dalam siasatan lanjut polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain