suria

Perpustakaan Negara Jalan Kajian Tahap Membaca Rakyat

KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia akan menjalankan kajian seawal April ini bagi mengukur tahap membaca di kalangan masyarakat negara ini yang dikatakan masih rendah, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata, kajian ini perlu memandangkan industri buku negara kini sudah meningkat dengan purata 16,000 judul setahun yang merupakan satu angka yang besar.

"(Sementara) pembacaan dalam bidang novel dan buku-buku biografi dan sastera juga meningkat. Dengan itu, kita merumuskan takkanlah masyarakat Malaysia pada puratanya masih membaca dua buku setahun," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku 'Melakar Jejak - Biografi Mohd Yusof Noor' di sini.

Rais berharap kajian itu dapat mewujudkan satu garis asas pembacaan yang sesuai bagi digunakan dalam mengukur tahap pembacaan masyarakat di negara ini dalam tempoh tiga tahun berbanding 10 tahun sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya kajian ini dapat dilaksanakan, ia juga dapat memberi manfaat kepada penulis-penulis buku yang menjadikan penulisan sebagai mata pencarian mereka.

"Masa depan penulis dapat kita lihat bersama dalam konteks memberi kemungkinan bagi penulis untuk menyara hidup menerusi profesionnya," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rais berkata, buku-buku agama, kesusasteraan, novel dan fiksyen didapati berjaya menarik perhatian masyarakat dengan jualan buku-buku semakin meningkat.

"Pada 2009 sejumlah 1,429 buah buku agama dijual berbanding 1,269 buah pada tahun sebelumnya, bagaimanapun buku kesusasteraan, novel dan fiksyen pula mencatatkan pengurangan daripada 2,934 buah pada tahun 2008 kepada 2,788 buah tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor ketika ditemui berkata, buku biografi mengenai dirinya yang ditulis oleh oleh Hariza Mohd Yusof dan Salleh Yusof menceritakan perjalanan dan pengalaman hidup beliau sepanjang penglibatan dalam bidang politik, akademik dan korporat.

Mohd Yusof berkata, pengalaman yang dicatat dalam buku itu terutama semasa memegang jawatan Ketua Penerangan Umno, pensyarah universiti dan kakitangan kerajaan boleh dijadikan panduan dalam menangani isu-isu yang berrlaku pada masa ini.

Antaranya, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari Umno di mana beliau selaku Ketua Penerangan Umno diberikan tanggungjawab menyalurkan maklumat berhubung isu berkenaan.

"Itu pengalaman yang dilalui dalam politik yang saya fikir boleh juga di ambil sebagai satu bahan untuk direnung. Selain itu, kejadian pemberontakan Ibrahim Memali di Kedah di mana pada masa itu saya bertugas dengan kerajaan.

"Dalam universiti pula, saya berhadapan dengan semangat revolusi Iran di mana pada masa itu saya berhadapan dengan pelajar yang ekstrem. Jadi, pengalaman itulah yang menjadikan pengalaman di universiti dan kerajaan agak sensitif dan mungkin boleh dijadikan sebagai bahan renungan kepada mereka yang mengikuti kandungan buku itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain