suria

Nik Aziz Jamin Mampu Urus Sendiri Wang Royalti

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi jaminan sebarang wang pemberian daripada Kerajaan Pusat, sama ada wang royalti atau ihsan tidak akan disalahgunakan dan sampai kepada rakyat jika disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, pengalaman mentadbir Kelantan kira-kira 20 tahun membuktikan kerajaan negeri pimpinan PAS tidak menyeleweng atau menyalahgunakan wang yang diperuntukkan bagi kepentingan rakyat.

"Kami boleh mengurus dan mentadbir sendiri wang daripada Kerajaan Pusat itu, walaupun tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini.

Nik Aziz berkata demikian mengulas mengenai cadangan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang ihsan melalui JPP dan tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri itu kerana dikhuatiri tidak sampai ke matlamat asal untuk kepentingan rakyat.

"Sepanjang 20 tahun mentadbir negeri ini, pegawai kami amanah, tidak rasuah dan inilah yang ditarbiahkan supaya menjadi manusia yang beriman dan bertakwa," kata Nik Aziz.

Ditanya mengenai kenyataannya semalam yang mengajak Umno duduk semeja untuk membincangkan isu agama, Nik Aziz berkata beliau bersedia bila-bila masa untuk mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai agama Islam.

Menurutnya, persoalan yang beliau ingin tekankan ialah mengapa Umno menolak perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau berkata, jika Umno berjaya menjelaskan kepada PAS bahawa prinsip perjuangan yang dibawa parti menyalahi Islam, beliau bersedia menerima Umno. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain