suria

Kerajaan Cadang Tubuh Majlis Pemuafakatan Pendidikan

JITRA: Kementerian Pelajaran akan menubuhkan Majlis Pemuafakatan Pendidikan Peringkat Parlimen bagi membolehkan tumpuan yang lebih diberi kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat Parlimen.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, anggota jawatankuasa itu dijangka terdiri daripada wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan, polis serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Rangka cadangan (penubuhan majlis) ini sudah siap, cuma belum diberi kata putus oleh Menteri kerana masih di peringkat cadangan, jadi saya belum boleh berjanji bila ia akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan dengan PIBG sekolah-sekolah di daerah Kubang Pasu, di Kodiang dekat sini hari ini.

Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan Anggota Parlimen kerana isu pelajaran bukan sahaja membabitkan pegawai di Jabatan Pelajaran, malah wakil rakyat juga perlu terlibat secara langsung.

Mengenai dakwaan berlaku kesilapan kandungan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Empat yang dikatakan boleh mengeliru dan menjejaskan akidah pelajar, Mohd Puad berkata, Unit Kurikulum dan Pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran telah diminta menyemak kandungan buku teks terbabit.

"Jika didapati fakta dalam buku teks berkenaan salah, kementerian akan menarik balik atau membetulkan fakta itu," katanya.

Kesalahan fakta pada halaman 75 dan 134 buku teks berkenaan dilapor dikesan seorang pesara guru agama, Nokman Zakaria, 58, ketika beliau masih bertugas di sekolah menengah di Terengganu lima tahun lepas.

Nokman berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil untuk mengatasi kesilapan itu, malah buku teks berkenaan masih diulang cetak sehingga kini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain