suria

Imbuhan Seumur Hidup RM2,000 Sebulan Untuk Johan Qari, Qariah Antarabangsa

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian imbuhan RM2,000 sebulan kepada qari dan qariah negara yang menjadi johan Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa.

Imbuhan yang akan dibayar sepanjang hayat itu berkuat kuasa Oktober tahun lepas, katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Bernama difahamkan seramai sembilan qari dan 14 qariah berkenaan yang masih hidup layak menerima imbuhan itu. "Sepanjang penganjuran majlis tilawah tersebut (sejak 1961), para qari dan qariah Malaysia telah ramai menjadi johan dalam acara berprestij itu, dan mereka hanya diberi hadiah ketika berlangsungnya majlis tersebut.

"Amat wajar bagi pihak kerajaan menghargai sumbangan mereka ini yang telah mewakili negara sekaligus memahat nama Malaysia menjadi juara di peringkat antarabangsa," kata Perdana Menteri.

Najib berkata pemberian imbuhan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan harian.

Beliau turut mengumumkan pemberian biasiswa Yayasan 1 Malaysia Development Berhad (MDB) kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama yang cemerlang untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bidang perubatan di Mesir mulai tahun ini.

Katanya langkah itu bagi melahirkan para doktor yang berintegriti, mampu menguasai ilmu Al-Quran dan sains dan menjadi tokoh inovasi perubatan kepada masyarakat dan negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menimbang untuk memberi biasiswa itu kepada pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang-bidang strategik termasuk kewangan dan perbankan Islam.

"Dalam erti kata lain, aliran sekolah agama tetap akan diberi bantuan oleh pihak kerajaan. Dengan ini, dapat melahirkan generasi ulul albab seperti dalam Al-Quran," katanya.

Najib berkata kerajaan bercadang untuk memberikan sumbangan kewangan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi melaksanakan aktiviti masyarakat dan dakwah di negara ini.

Beliau berkata langkah itu sebagai manifestasi sokongan kerajaan kepada kegiatan dan peranan yang dimainkan oleh pertubuhan-pertubuhan itu.

Katanya jumlah sumbangan dan pertubuhan yang akan menerimanya akan ditentukan selepas rundingan diadakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri berharap NGO Islam dapat memainkan peranan dan tanggungjawab sosial dalam membantu menjelaskan dasar-dasar kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia sehingga ke peringkat akar umbi.

"Saya berharap dengan pemberian sumbangan kewangan ini nanti, NGO dapat bersama-sama kita merealisasikan agenda nasional dan pembangunan ummah secara holistik dan bersepadu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain