suria

Dua Warga Malaysia Dijatuhi Hukuman Mati Edar Dadah Di Singapura

SINGAPURA: Dua warga Malaysia, seorang daripadanya wanita, dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah semalam kerana mengedar dadah.

Pang Siew Fum, 54, dan Cheong Chun Yin, 26, ditahan oleh pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) negara bandar raya ini pada 17 Jun 2008 selepas mereka didapati mengedar sejumlah 7.7 kilogram diamorphine.

Media tempatan hari ini melaporkan bahawa Cheong tiba di Lapangan Terbang Changi menaiki penerbangan SilkAir dari Myanmar dengan membawa sebuah beg bagasi beroda.

Dia kemudian bertemu Pang di Terminal 2 dan menyerahkan beg itu kepadanya di tempat meletak kereta sebelum beredar dengan menaiki teksi manakala Pang pula memandu menuju ke Toa Payoh.

Para pegawai CNB yang mengekori pasangan itu kemudian menahan mereka.

Kira-kira 2.7 kilogram diamorphine ditemui dalam beg hitam itu, dan di rumah Pang, para pegawai berkenaan menjumpai dua lagi beg bagasi yang mengandungi kira-kira 5 kilogram diamorphine.

Pang mendakwa dia menyangkakan beg yang diserahkan kepadanya oleh Cheong mengandungi batu berharga dan loket Buddha, manakala Cheong pula mendakwa dia menyangkakan beg itu memuatkan kepingan emas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain