suria

Anwar, Saiful Lawat Tempat Kejadian Kali Kedua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Luampur hari ini melawat semula tempat kejadian kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan berikutan permohonan daripada pasukan pembelaan Anwar.

Lawatan diketuai Hakim Mahkamah, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dilihat tiba dipekarangan Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada jam 12.02 tengah hari diiringi 15 buah kenderaan.

Pengadu, Mohd Saiful ditemani bapanya, Azlan Mohd Lazim semasa lawatan.

Sementara itu, Anwar tiba di kondominium tersebut pada jam 12.10 tengah hari ditemani oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pasukan peguam bela yang diketuai oleh Karpal Singh.

Bagaimanapun, wakil media yang berkumpul sejak pagi lagi dihalang daripada memasuki kawasan bangunan itu bagi melancarkan proses prosiding.

Hakim Mohamad Zabidin, peguam bela dan pasukan pendakwaan, Anwar dan Mohd Saiful meluangkan 45 minit semasa lawatan kedua itu sebelum mereka beredar pulang kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain