suria

Rosmah Nasihat Wanita Jangan Jatuhkan Wanita Lain

MELAKA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan kaum wanita dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak menjadikan wanita lain sebagai musuh terutama di tempat kerja.

"Daripada kita cuba menjatuhi kaum wanita yang lain, eloklah kita menanam semangat membantu antara satu sama lain agar kita sama-sama mencapai kejayaan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama beberapa NGO wanita negeri Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Rosmah berada di Melaka bagi mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Beliau berkata, wanita perlu bersatu dan mempunyai satu suara, satu misi dan satu visi bagi membantu menyahut cabaran abad ke-21.

"Apa yang penting, kita menerima satu sama lain, dan memberi sokongan serta galakan demi kejayaan bersama," katanya.

Rosmah berharap NGO wanita memperbanyakkan lagi program yang selari dengan hasrat kerajaan seperti memperkasakan jati diri serta mempertingkatkan ilmu dan kepakaran. - BERNAMA

Artikel Lain