suria

Polis Guna Kaedah Statik Beri Amaran Kepada Pengguna Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Selain menggunakan kaedah pengguna jalan raya sebagai mata kepada pihak polis, polis juga akan menggunakan konsep statik bagi memantau lalu lintas di 33 buah lokasi panas di sepanjang lebuh raya di seluruh negara semasa Ops Sikap ke-21 yang akan bermula pada 7 hingga 21 Februari ini.

Ketua Trafik Persekutuan Datuk Abdul Aziz Yusof berkata pendekatan itu digunakan bagi mendidik dan memberi amaran kepada pengguna lebuh raya bahawa polis berada di mana-mana sahaja.

"Selain meletakkan anggota polis, pihak kami juga akan meletakkan objek yang boleh menarik perhatian pengguna lebuh raya seperti meletakkan objek menyerupai seorang anggota polis di tepi lebuh raya.

"Bila nampak polis, pemandu akan mematuhi had laju. Jadi dengan konsep ini kita bukan sahaja dapat mengurangkan bilangan anggota yang bertugas mengawasi lalu lintas tetapi dapat memberi amaran kepada pemandu," katanya pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau berkata 33 buah lokasi itu hanya melibatkan lebuh raya dan pihaknya akan mengunakan pendekataan yang sama di semua kawasan polis kontinjen negeri dan daerah jika ia berjaya mengurangkan kadar kemalangan.

Semalam, Abdul Aziz berkata pengguna lebuh raya akan menjadi mata kepada pihak polis dengan mencatat nombor pendaftaran kenderaan yang memandu laju dan melaporkan kepada polis.

Beliau juga berkata orang ramai tidak perlu gusar dan takut untuk menggunakan pengangkutan awam pulang ke kampung semasa musim perayaan kerana kadar kemalangan melibatkan pengangkutan awam amat rendah dan masih selamat digunakan.

"Kalau kita tengok pada Ops Sikap ke-20 lepas, tiada kemalangan melibatkan pengangkutan awam dan yang paling banyak berlaku kemalangan ialah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu sebanyak 65 peratus daripada kes kemalangan maut," katanya.

Beliau berkata pihaknya kini memberi tumpuan dan penekanan yang lebih kepada penunggang dan pembonceng motosikal termasuk pemandu kereta kerana golongan itu paling ramai terlibat dalam kemalangan semasa Ops Sikap dilakukan. - BERNAMA

Artikel Lain