suria

Pengawal Keselamatan IPTA Ditahan Curi Wang

KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini ditahan polis semalam setelah dipercayai terlibat mencuri wang milik klinik mata di institusi tersebut tahun lalu.

Namun wang tersebut dikatakan telah dihabiskan suspek.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Haris Daud berkata, lelaki berusia 25 tahun tersebut ditahan di rumahnya di Kampung Bukit Setongkol kira-kira 9.30 pagi.

"Suspek dipercayai mencuri RM15,000 iaitu hasil kutipan dua minggu di dalam peti keselamatan yang berada dalam klinik tersebut pada 21 Disember tahun lepas.

"Kecurian itu disedari oleh kakitangan klinik tersebut apabila laci peti keselamatan itu terbuka dan mendapati wang di dalamnya lesap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Haris berkata, kakitangan wanita tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan hasil maklumat orang awam, polis berjaya menahan suspek. - BERNAMA

Artikel Lain