suria

Pencegah Anjur Khidmat Masyarakat Komuniti India

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah (Pencegah) menganjurkan Projek Khidmat Masyarakat khusus bagi kaum India.

Presiden Pencegah, R.Jeevan berkata, projek itu akan bermula 7 Februari ini di lapan buah sekolah Tamil di Wilayah Persekutuan.

"Projek ini bertujuan untuk menyalurkan dan memberi garis panduan, galakan, nasihat dan sokongan kepada masyarakat India dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan dan penglibatan mereka untuk membangunkan negara," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek itu dirancang rapi untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat India yang kurang bernasib baik. "Ia juga bertindak sebagai satu kajian dari segi pencegahan gejala sosial, jenayah dan dadah di kalangan masyarakat India di Wilayah Persekutuan," katanya.

Jeevan berkata, sebanyak 180 aduan telah dilaporkan pada tahun lepas dan sukarelawan Pencegah sedang memproses aduan-aduan tersebut mengikut masalah dan memohon bantuan daripada jabatan yang berkenaan untuk mengatasinya.

Jeevan memberitahu program ini akan dilanjutkan ke negeri-negeri lain pada masa akan datang demi mengatasi masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan minoriti di negara ini.

Beliau berharap Masyarakat India dapat hadir ke sekolah-sekolah Tamil berhampiran untuk mendapat kaunseling terhadap masalah-masalah sosial yang dihadapi. - BERNAMA

Artikel Lain