suria

Kritikan Hanya Usaha Jatuhkan Kerajaan Negeri : Lim

PULAU PINANG: Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kritikan yang dibuat ke atasnya oleh segelintir pemimpin hanyalah satu usaha bagi menjatuhkan kerajaan negeri.

Menurut beliau, usaha itu tidak akan berjaya kerana pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS tetap berdiri teguh.

"Tekanan yang saya terima ini tidak mendatangkan kesan, sebaliknya saya akan mentadbir negeri ini dan membawanya ke puncak kejayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini hari ini.

Lim berkata, beliau akan tetap meneruskan usaha mentadbir dan membangunkan Pulau Pinang walaupun dibebani dengan pelbagai tekanan dan tuduhan.

Katanya, hanya segelintir individu yang ada dalam pakatan pembangkang sahaja yang mungkin tidak berpuas hati, mereka ini hanya berada dalam parti tetapi jiwanya berada di luar parti.

Kepimpinan Lim dikritik oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang apabila melabelkan beliau sebagai diktator, chauvinis dan berfikiran bahaya kerana sikapnya tidak suka dikritik.

Turut menyokong kenyataan Zahrain ialah seorang lagi pemimpin PKR, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mendakwa Lim seorang yang angkuh dan harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menjawab soalan sama ada beliau akan meletak jawatan akibat tekanan yang diterima, Lim berkata: "Sesiapa sahaja boleh suruh atau minta saya letak jawatan."

Lim bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya dan beberapa tuduhan lain yang dikaitkan dengannya.

"Saya tidak layak untuk menjawab semua persoalan itu, rakyat tahu menilai," katanya.

Artikel Lain