suria

Kes Liwat: Prosiding On-Site Lancar

KUALA LUMPUR: Sesi pagi perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 lalu diteruskan dengan pihak hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan serta Anwar, Mohd Saiful dan Zambri Idrus, peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful, meninggalkan mahkamah pada 11.45 pagi untuk melawat kondominium, tempat kesalahan itu didakwa dilakukan.

Rombongan itu tiba di Kondominium Desa Damansara pada pukul 12.05 bagi menjalankan prosiding on-site bagi kes liwat Anwar Ibrahim.

Anwar, Saiful turut tiba di kondominium itu bersama Sankara Nair beberapa minit kemudian.

Jurugambar dan media dihalang daripada memasuki bangunan bagi melancarkan proses prosiding.

Ketika Saiful tiba di kondominium itu, Exco wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fairouze Harun bertindak mencaci Saiful dengan memanggilnya lelaki dayus.

Perbuatan itu turut diikut oleh sekumpulan wanita daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak mencaci Saiful di hadapan pihak media.

Pada jam 12.40, kelihatan kereta MPV yang dinaiki Anwar bersama peguamnya, Kamar Ainiah keluar dari kawasan Kondominium Desa Damansara.

Pada 12.54 pula, kelihatan kereta MPV yang dinaiki oleh peguam tertuduh, Karpal Singh meninggalkan pekarangan kondominium.

Pada pukul 1 petang, Hakim, Saiful dan pihak pendakwa raya meninggalkan kondominium itu.

Hakim bagi perbicaraan kes itu meluangkan masa selama sejam di kondominium yang didakwa menjadi tempat kesalahan didakwa berlaku.

Semasa lawatan mahkamah ke kondominium tersebut, Saiful telah mendemonstrasikan bagaimana kejadian liwat itu berlaku di hadapan hakim.

Mahkamah kembali bersidang jam 2.30 petang ini.

Artikel Lain