suria

Kastam Rampas Syabu Bernilai RM1.7 Juta

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas dadah jenis syabu seberat 6.9 kilogram bernilai RM1.7 juta dalam tiga kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membabitkan tiga lelaki Iran.

Rampasan dibuat pada Isnin lepas, malam tadi dan hari ini.

"Ketiga-tiga lelaki ini kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan dan Penguatkuasaan) KDRM, Datuk Mohamed Khalid Yusuf.

Beliau berkata, pada 11.45 malam Isnin lepas, pihak kastam menemui tiga kilogram syabu bernilai RM750,000 dari seorang lelaki Iran berumur dalam lingkungan 20-an, yang dipercayai mahu diseludup masuk.

Dadah tersebut ditemui di dalam beg galas lelaki berkenaan.

"Melalui dokumen perjalanannya, mengesahkan lelaki warga Iran ini dalam perjalanan dari Dubai ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Emirates Air.

"Dokumen perjalanannya juga menunjukkan ini adalah kali kedua lelaki ini datang ke Malaysia," kata Mohamed Khalid pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Narkotik KDRM di sini hari ini.

Dalam satu lagi rampasan pada 10 malam tadi, pegawai kastam menjumpai syabu seberat 2.4 kilogram bernilai RM614,000 juga dalam sebuah beg milik seorang lelaki warga Iran.

"Lelaki warga Iran ini yang berumur lingkungan 30-an juga dalam perjalanan dari Dubai ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Emirates Air," katanya.

Sementara dalam kes yang berlaku pada 9 pagi tadi, pegawai kastam yang memeriksa sebuah beg yang dibawa oleh seorang lelaki warga Iran berusia lingkungan 30-an, turut mendapati dadah syabu seberat 1.5 kilogram di dalamnya yang bernilai RM375,000.

"Warga Iran ini pula dalam perjalanan dari Istanbul ke Kuala Lumpur," kata Mohamed Khalid. - BERNAMA

Artikel Lain