suria

JKJR Menyamar Sebagai Penumpang Pantau Salah Laku Pemandu Bas

KUALA LUMPUR: Para pegawai Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres semasa musim perayaan Tahun Baru Cina ini bagi memantau gelagat pemandu bas ekspres ketika berada di jalan raya.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata sebarang kesalahan lalulintas yang dilakukan pemandu seperti tidak mematuhi had laju, kemudiannya akan dicatatkan dan laporan mengenainya akan hantar terus kepada pengusaha bas berkenaan dan juga Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk tindakan.

"Langkah ini diambil berikutan kebanyakan kemalangan membabitkan bas ekspres didapati berpunca daripada masalah dan sikap pemandu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran bersama Yayasan Belia Malaysia di sini.

Katanya pemantauan itu sekaligus akan dapat membantu polis dalam aspek penguatkuasaan undang-undang.

Beliau juga berharap supaya orang ramai dapat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan membuat aduan terhadap sebarang salah laku oleh pemandu bas ekspres di jalan raya.

"Dengan cara ini, kami bertanggungjawab dari segi kawalan kendiri khusus kepada pemandu bas itu sementara pihak polis pula akan memastikan dari aspek penguatkuasaan," katanya.

Beliau menegaskan supaya orang ramai turut menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan membuat aduan terhadap sebarang salah laku oleh pemandu bas ekspres. - BERNAMA

Artikel Lain