suria

Graduan Diploma Grafik Ditahan Terbabit Jenayah Pecah Rumah

PUTRAJAYA: Polis menahan eorang graduan Diploma Grafik kerana dipercayai terlibat dalam 24 kes pecah rumah sekitar Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata lelaki berusia 27 tahun yang menganggur itu ditahan di rumahnya di Klang, Selangor.

"Polis turut merampas beberapa barangan antaranya empat buah komputer riba, sebuah televisyen dan 24 kunci pendua yang dikatakan digunakan oleh suspek untuk menjalankan kegiatan jenayahnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Razak berkata modus operandi suspek sangat mudah iaitu hanya menggunakan kunci pendua untuk membuka jeriji pintu utama yang tidak bermangga.

Beliau berkata kesemua rumah yang dipecah masuk suspek juga tidak dikunci pintu utamanya dan ada juga kunci ditinggalkan tuan rumah dalam kasut.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak berkata mulai esok, polis akan memulakan operasi menyaman pengguna yang meletakkan kenderaan di bahu jalan serta mengganggu lalu lintas di pasar tani di Persint 2, di sini.

"Saya nasihatkan pengunjung pasar tani untuk meletakkan kenderaan mereka di tiga lokasi parkir berhampiran yang terletak hanya sejauh 100 meter dari pasar tani," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain