suria

Denggi: Tiga Maut Dan Jumlah Kes Meningkat

KUALA LUMPUR: Tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan pada minggu lepas, menjadikan jumlah kematian tahun ini meningkat kepada 14 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata kes demam denggi turut dilaporkan meningkat kepada 1,101 kes pada tempoh sama, peningkatan sebanyak tiga peratus, berbanding 1,065 kes pada 17 hingga 23 Januari lepas dan empat negeri iaitu Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan dan Labuan menunjukkan peningkatan ketara.

Beliau berkata tiga kes itu membabitkan seorang jururawat, 45, yang meninggal dunia pada 16 Januari lepas setelah mengalami ruam dan sakit tekak dua hari sebelum itu.

Jururawat yang menghidap Talasemia dari Baling, Kedah pada mulanya dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Baling sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, kata Dr Mohd Ismail.

Beliau berkata kes kedua melibatan pembantu kedai makan di Shah Alam, Selangor yang mengalami demam, sakit kepala dan badan semasa bercuti di kampungnya di Kulim, Kedah pada 17 Januari.

Lelaki berumur 25 tahun itu pada mulanya mendapat rawatan di Klinik Kerajaan di Baling sebelum dirujuk ke Hospital Kulim dan meninggal dunia pada 24 Januari akibat komplikasi demam denggi iaitu "Dengue Shock Syndrome", katanya.

Dr Mohd Ismail berkata kes ketiga melibatkan pemandu lelaki yang menghidap penyakit "diabetis dan hipertensi" yang mengalami demam dan sakit badan pada 24 Januari.

Lelaki dari Suai, Miri, Sarawak berumur 46 tahun itu meninggal dunia kerana demam denggi berdarah pada 29 Januari di Hospital Miri.

Bagi kes Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 76 kes dilaporkan pada minggu lepas, iaitu peningkatan sebanyak lapan kes atau 12 peratus daripada minggu sebelumnya sebanyak 68 kes.

Daripada jumlah itu, 74 kes dilaporkan di Sarawak dan dua lagi di Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain