suria

23 Pelajar Ponteng Di Kajang Dicekup Polis

KUALA LUMPUR: Seramai 23 pelajar termasuk tiga pelajar perempuan yang ponteng sekolah dicekup polis ketika sedang leka bermain 'game' di sebuah kafe internet di kawasan Perimbun Batu 9, Kajang hari ini.

Ketika serbuan pukul 9 pagi itu, tiga pelajar perempuan yang berpakaian biasa sedang melepak di luar kafe tersebut, sementara 20 pelajar lelaki yang berada di dalam kafe itu sedang leka bermain permainan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, polis membuat serbuan itu setelah mendapat banyak aduan daripada orang ramai yang bimbang dengan kegiatan pelajar yang sering ponteng sekolah dengan mengunjungi kafe tersebut.

"Kesemua pelajar yang ditahan berumur antara 15 dan 17 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah berhampiran kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Shakaruddin berkata, polis kemudiannya menyerahkan kesemua pelajar terbabit kepada pihak sekolah untuk diambil tindakan disiplin.

Beliau berkata, susulan itu, polis akan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan bagi menarik lesen perniagaan kafe tersebut.

"Adalah menjadi kesalahan kerana peniaga terbabit membenarkan pelajar berumur bawah 18 tahun masuk ketika waktu sekolah. Kami akan serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa tempatan untuk menarik balik lesen perniagaan kafe internet tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain