suria

Tiga Lelaki Iran Bawa Syabu RM1.68 Juta Ditahan di KLIA

SHAH ALAM: Tiga lelaki rakyat Iran yang cuba membawa masuk dadah jenis syabu yang dianggar bernilai RM1.68 juta ke negara ini, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa.

Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 25 dan 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selepas tiba dengan penerbangan dari Dubai pada pukul 5 pagi.

"Dadah itu cuba dibawa masuk dengan menyembunyikannya dalam 12 botol penyembur rambut," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga lelaki yang masing-masing membawa dua beg itu, polis menemui dua botol penyembur rambut dalam setiap beg itu.

"Setelah botol penyembur rambut itu dibuka, polis mendapati ia mengandungi serbuk disyaki syabu dengan berat kira-kira 6.7 kilogram," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Nordin berkata, polis turut merampas wang tunai RM319, US$3,731 dan Riyal Iran 1.37 juta.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati seorang daripada mereka pernah dua kali datang ke Malaysia sebelum ini sementara dua lagi pernah ke negara ini sekali.

Menurut Nordin, ketiga-tiga lelaki itu kini ditahan reman sehingga 9 Feb ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam kes lain, beliau berkata polis merampas 87 bungkusan kapsul berisi bahan disyaki syabu bernilai RM130,000 dalam perut seorang lelaki rakyat Iran yang ditahan di KLIA pada kira-kira pukul 10 pagi, Sabtu lepas.

Nordin menjelakan, ketika pemeriksaan dilakukan di KLIA, tiada dadah dijumpai pada lelaki berumur 32 tahun itu dan dia kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil X-ray didapati dalam perut lelaki Iran itu terdapat 87 bungkusan kapsul berisi bahan disyaki syabu seberat 574 gram dan polis menunggu selama dua hari baru dapat keluarkan semua dadah itu dari perut suspek yang dibuat melalui proses pembuangan air besar," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas ialah wang tunai RM971 dan sejumlah mata wang asing. Nordin berkata lelaki terbabit yang pernah empat kali ke Malaysia ditahan reman sehingga 7 Feb ini dan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kami percaya kesemua suspek dalam kedua-dua kes ini berperanan sebagai 'kurier' yang bawa masuk dadah ke Malaysia dan kami masih siasat jika ada lagi sindiket seperti ini kerana minggu ini sahaja ada kira-kira tiga kes seperti ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain