suria

Polis Tumpaskan Geng 'Paling Ganas' Di Ipoh

IPOH: Satu kumpulan penyamun yang disifatkan polis sebagai geng "paling ganas" di bandar raya ini, tumpas dua hari selepas mereka menyerang tiga lelaki pada satu majlis sambutan Thaipusam di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata polis percaya dapat melumpuhkan kumpulan itu dengan penangkapan lapan daripada 10 anggotanya dalam beberapa serbuan di sekitar Ipoh dan Chemor dalam tempoh 48 jam lepas.

"Kumpulan geng parang tersebut merupakan kumpulan yang paling ganas melakukan samun di bandar raya ini ...mereka terlibat dalam kes samun, dadah dan rusuhan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Azisman berkata dalam kejadian Isnin, tiga lelaki cedera parah diserang sekumpulan lelaki bersenjata parang semasa mereka sedang meraikan Thaipusam di sebuah rumah di Taman Wangi, Jalan Kuala Kangsar di sini.

Beliau berkata dua daripada mangsa putus tangan manakala seorang lagi juga parah di bahagian tangan dan kesemua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Ekoran kejadian itu, polis melancarkan operasi dan berjaya mengesan lapan suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun, seorang daripadanya ditahan dekat tempat kejadian, manakala tujuh ditahan di sebuah resort di Bukit Kinding, katanya.

Azisman berkata polis turut menjumpai 10 bilah parang serta merampas tiga buah kereta dan beberapa buah motosikal daripada suspek berkenaan.

Beliau berkata kumpulan itu diberu polis kerana pernah terlibat dalam beberapa kes jenayah membabitkan dadah, samun, rusuhan serta mencederakan orang awam.

Polis telah mendapat perintah menahan reman selama tujuh hari ke atas suspek berkenaan.

Azisman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai T. Kamarud yang beralamat terakhir di No 80 Persiaran Hulu Berham 8, Bandar Baru Putra, Bercham supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui telefon 05-2542222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu dalam kejadian lain, seorang peniaga kuih ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala di Jelapang di sini hari ini.

Azisman berkata R.Muthu, 41, ditemui terbaring di sebuah kawasan semak pada pukul 7.45 pagi tadi oleh sepasukan anggota polis.

Katanya mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada pukul 9 malam tadi dengan membawa dua anaknya ke sebuah pusat tuisyen yang berdekatan tetapi tidak pulang ke rumah selepas itu.

Isteri mangsa, D.Fatima, 33, kemudian keluar mencari suaminya dan menemui kesan tompok darah kira kira dua kilometer dari rumahnya lalu melaporkan kepada pihak polis.

Azisman berkata seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan polis sedang berusaha mengesan seorang remaja 15 tahun untuk membantu siasatan kes berkenaan yang diklasifikasi sebagai kes bunuh. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain