suria

Polis Mula Siasat Kes Pegawai Khas PM

KUALA LUMPUR: Polis Melaka telah membuka kertas siasatan melibatkan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar atas dakwaan memberi ceramah yang mempunyai unsur perkauman

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kes itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan.

Katanya, seberapa banyak laporan polis dibuat diseluruh negara tetapi pihaknya akan membuat satu siasatan sahaja.

"Memandangkan kejadian berlaku di Melaka, pihak polis di sana akan menguruskan kes tersebut," katanya di sini hari ini.

Semalam Nasir dilaporkan membuat kenyataan berunsur perkauman pada seminar 1Malaysia di Melaka.

Beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan tersebut semasa membuat perbandingan terhadap kehendak yang dibuat oleh kaum India dan Cina berhubung dengan polisi pendidikan kerajaan.

Beberapa delegasi daripada MIC dan MCA yang turut hadir pada majlis itu bertindak keluar daripada dewan dan membuat bantahan terhadapnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin memberitahu, sebanyak 12 laporan polis berkaitan dakwaan tersebut dibuat.

Beliau berkata, kesemua laporan polis itu dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara dan pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain