suria

Pemandu Bas Maut Selepas Terjun Dari Bas

KUANTAN: Seorang pemandu bas henti-henti nekad terjun melalui pintu basnya selepas brek kenderaan tersebut tidak berfungsi.

Namun C.Selwam, 39, kemudiannya menemui ajal dalam kejadian 6.45 pagi semalam di Jalan Taman Orkid Deluxe, Ringlet dekat Cameron Highlands.

Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohd Najid Jusoh berkata, mangsa bersama konduktornya baru sahaja mahu memulakan perjalanan untuk mengambil penumpang apabila kejadian itu berlaku.

"Mereka sedang keluar daripada kawasan Taman Perumahan Orkid Deluxe dan sedang menuruni bukit. Pemandunya dipercayai panik dan ketakutan apabila menyedari brek basnya gagal berfungsi ketika sedang menuruni bukit itu.

"Akibat terlampau takut, mangsa nekad terjun melalui pintu bas terbabit sebelum bas itu melanggar tebing bukit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Najid berkata, selepas terjun, mangsa terjatuh ke atas jalan bertar dalam keadaan tertiarap. Dia dikejarkan ke Hospital Ipoh untuk rawatan sebelum meninggal kira-kira 2.20 petang.

Konduktor itu yang berusia 30-an yang tidak ikut terjun hanya cedera ringan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain