suria

Nelayan Terjatuh Dalam Laut Di Kuala Kedah Ditemui Lemas

KUALA KEDAH: Seorang nelayan Mohd Sofian Mat, 26, ditemui mati lemas hari ini selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut di Pelantar Ah Gong di sini semalam.

Isteri mangsa, Rosni Ramli, 26, berkata selepas pulang kerja semalam, dia mendapati suaminya tidak ada di rumah tetapi tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah pagi tadi dia mula merasa tidak sedap hati.

"Saya pergi ke balai polis pagi tadi untuk membuat laporan tentang kehilangannya selepas ada orang beritahu terlihat suami saya jatuh ke dalam laut," katanya kepada pemberita.

Rosni yang sedang mengandung anak sulung selepas tujuh bulan berkahwin berkata dia turut pergi ke pelantar berkenaan untuk mencari suaminya tetapi gagal.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, DSP Mohd Fiesal Libertus Abdullah berkata selepas menerima laporan dari isteri mangsa, pihaknya segera memaklumkan kepada Polis Marin cawangan Kuala Kedah dan Langkawi untuk menjalankan operasi mencari serta menyelamat.

"Operasi mencari dan menyelamat bermula pukul 2.50 petang tadi dan mayat mangsa ditemui pada pukul 4.10 petang," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain