suria

MPS Rancang Pasang Lebih Banyak CCTV

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merancang untuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar itu tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Tiong Thai King berkata, ini sejajar dengan Program Bandar Selamat yang sedang dilaksanakan.

"Buat masa ini kita sudah ada tujuh. Terbukti ia efektif dalam membanteras kegiatan jenayah seperti ragut, vandalisme dan memantau kesesakan trafik di kawasan terbabit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa Program Bandar Selamat di sini hari ini.

Mesyuarat Petugas khas Pelaksanaan Program Bandar Selamat di Kota Kinabalu bulan lepas memutuskan 10 pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak akan melaksanakan program itu tahun ini.

Tiong berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat setiap bulan untuk membincangkan pelbagai isu termasuklah kadar jenayah, mengenalpasti kawasan panas jenayah, pemetaan dan membanteras jenayah.

"Kami akan mencadangkan tindakan dan langkah untuk memerangi jenayah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, kes curi motosikal dan pecah rumah menjadi penyumbang 50 peratus daripada indeks jenayah yang dilaporkan di bandar itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain