suria

Lelaki Didakwa Rasuah Anggota Polis RM5,000

KUANTAN: Seorang lelaki semalam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan cuba merasuah seorang anggota polis.

Yap Chun Loong, 33, didakwa cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada anggota Unit Pencegah Kongsi Gelap ketika dia ditahan dalam satu operasi membanteras penyeludupan rokok di Jalan Kuantan-Gambang pada 21 Disember 2009.

Hakim Mohd Fadhir Harun kemudiannya menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh dan hakim membenarkan dia dibebaskan selepas membayar jaminan sebanyak RM5,000.

Mengikut kertas pertuduhan, Yap didakwa cuba merasuah anggota terbabit sebagai dorongan bagi melepaskannya daripada dikenakan tindakan dalam satu operasi membanteras penyeludupan rokok.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau lima kali ganda jumlah suapan.

Pendakwaan dilakukan Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, P Ganesan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain