suria

KPDNKK Senarai 11 Barangan Kawalan Sempena Tahun Baru Cina

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan 11 jenis barang harga terkawal di bawah skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina berkuat kuasa 10 hingga 21 Februari.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 11 barangan itu termasuk perut babi dan daging babi yang buat pertama kali diperkenalkan dalam skim berkenaan.

"Harga maksimum runcit bagi perut babi ialah RM20 sekilogram di Semenanjung manakala di Sarawak serta Sabah harganya antara RM16 dan RM20 dan di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pula RM23 sekilogram.

"Harga bagi daging babi pula RM14 sekilogram di Semenanjung, di Sarawak dan Sabah antara RM10 dan RM16 sekilogram dan di WP Labuan RM20 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, memandangkan daging babi buat pertama kali dimasukkan dalam senarai barangan kawalan, peniaga daging babi dikehendaki mendapatkan lesen khas yang boleh didapati secara percuma di semua pejabat kementerian.

Ismail berkata, barangan lain ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, dan C, kubis bulat import dari Indonesia dan China kecuali jenis Beijing, ikan bawal putih serta udang putih besar.

Harga maksimum runcit bagi ayam hidup di Semenanjung ialah RM5.85 hingga RM6.10 sekilogram, di Sabah dan Sarawak antara RM6.30 dan RM8.70 sekilogram dan di WP Labuan RM6.30 sekilogram.

Ayam standard pula antara RM6.90 dan RM7.20 sekilogram di Semenanjung, Sabah dan Sarawak antara RM9.30 dan RM10.30 sekilogram manakala di WP Labuan RM9.30 sekilogram.

Harga ayam super ialah antara RM7.70 dan RM8.05 sekilogram di Semenanjung, RM8.80 hingga RM11.50 sekilogram di Sabah dan Sarawak manakala di WP Labuan ditetapkan RM9.50 sekilogram.

Sementara itu, Ismail berkata, daging lembu tempatan dan daging kerbau import (India) digugurkan daripada senarai barang kawalan kali ini.

Penetapan harga maksimun borong dan runcit itu dibuat bagi 138 kawasan di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain