suria

Kerajaan P. Pinang Mahu Selesaikan Isu Perobohan Gerai

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjemput Dewan Perniagaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang relevan untuk mencari penyelesaian secara baik berhubung isu perobohan gerai tanpa lesen di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman hari ini.

"Kami tidak menjadikan mana-mana kaum sebagai sasaran dan kami berharap dapat menyelesaikan masalah ini mengikut fakta dan bukannya sentimen," katanya kepada pemberita.

Perobohan gerai-gerai di Tanjung Bungah, Bukit Dumbar dan Seberang Prai dilaporkan telah mendapat bantahan keras oleh para pemimpin dan wakil NGO setempat.

Mengenai 5,000 orang dijangka mengadakan bantahan pada Jumaat di depan bangunan Komtar, yang turut menempatkan pejabat kerajaan negeri, Mansor berkata beliau tidak akan menghalang mereka daripada mengadakan perhimpunan secara aman.

"Tetapi saya dimaklumkan terdapat mereka yang akan datang dari Perak, Perlis dan Kedah untuk menyertai perhimpunan itu," katanya dan menurutnya beliau berharap penduduk luar tidak diajak menghadiri perhimpunan itu kerana ini berkaitan isu setempat. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain