suria

Kastam Kedah Rampas Arak Bernilai Hampir RM1.4 Juta

ALOR SETAR: Kastam Diraja Malaysia Kedah berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai hampir RM1.4 juta termasuk duti, di jeti Jabatan Laut Kuala Kedah dekat sini, Isnin lepas.

Pengarahnya, Saadon Mohd Dros berkata, sepasukan anggota kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari Langkawi kira-kira pukul 4 petang dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai perantara yang menguruskan kemasukan minuman itu ke tanah besar.

"Kontena itu telah diikrarkan dalam borang kastam mengandungi satu lot katil besi, tetapi pemeriksaan awal mendapati terdapat keraguan terhadap kandungan dalam kontena terbabit.

"Pasukan telah membawa kontena itu ke Bahagian Penguatkuasaan di Bukit Kayu Hitam untuk melakukan imbasan x-ray sebelum melakukan pemeriksaan secara menyeluruh...di pejabat penguatkuasaan di Alor Setar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 704 karton yang mengandungi 8,448 botol minuman keras pelbagai jenis yang tidak berbayar cukai terdiri dari vodka, wiski, wain dan bir yang disembunyikan di belakang kotak-kotak berisi katil besi dalam kontena itu.

Saadon berkata, turut dirampas satu lot katil besi yang mengandungi 82 set katil saiz bujang bernilai lebih RM30,000 termasuk duti.

Katanya, lelaki yang ditahan bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan bon dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, iaitu terlibat dengan barangan larangan atau tidak berbayar cukai.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga 20 kali nilai barangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis di Bakar Arang, Sungai Petani dekat sini, Ahad lepas dan 673 karton rokok kretek dan rokok putih bernilai hampir RM48,000 termasuk duti dirampas daripadanya. - BERNAMA

Artikel Berikut