suria

Jualan Proton Naik 40 Peratus

SHAH ALAM: Jualan kereta Proton meningkat sebanyak 40 peratus bagi Januari tahun ini berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (Proton Edar), Mohamad Shukor Ibrahim berkata, sebanyak 14,485 kereta baru nasional itu didaftarkan pada Januari ini manakala hanya 10,134 kenderaan yang sama pada bulan tersebut tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, angka jualan itu bukan yang rasmi buat masa ini kerana belum dimaklumkan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

"Kereta Proton Saga menyumbang bilangan jualan terbanyak iaitu 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kereta nasional dijual diikuti Persona dan Exora," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada tujuh pemenang kempen 'Proton Drive For Holidays'. Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Proton Edar, Kamsani Ahmad.

Menurut Mohamad Shukor, Proton Edar merekodkan perkembangan jualan sebanyak empat peratus walaupun pasaran jualan kenderaan menguncup sedikit daripada 548,000 buah pada tahun 2008 kepada kira-kira 537,000 buah tahun lalu.

Katanya, bagi jenama Proton pula sebanyak 142,971 buah kenderaan pelbagai jenama didaftarkan dari Januari hingga Disember pada tahun 2008 manakala sebanyak 148,027 dijual sepanjang tahun lalu.

"Syer Proton dalam pasaran jualan kereta meningkat sebanyak dua peratus pada 2009 berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun ini, kami menyasarkan angka jualan lebih 165,000 kenderaan berdasarkan tiga model yang paling laris iaitu Saga, Persona dan Exora," katanya.

Sementara itu, Mohamad Shukor berkata, Proton bakal mengeluarkan kereta sedan mewah selepas Jun depan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenderaan terbaru tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah Proton Edar akan menstruktur semula 257 pengedar dan cawangan Proton Edar kepada 191 cawangan pada penghujung tahun ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain