suria

APMM Tahan Dua Bot Cuba Seludup Diesel

KANGAR: Dua buah bot nelayan tempatan yang dipercayai digunakan bagi menyeludup diesel bersubsidi ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis ketika sedang menghala ke perairan Thailand semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, APMM turut merampas sebanyak 2,050 liter diesel bersubsidi bernilai RM5,740 daripada kedua-dua bot berkenaan.

Katanya, tiga lelaki warga Thailand yang berada di atas bot yang telah diubah suai di bahagian petak ikan untuk dijadikan tangki menyorok minyak itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Abdul Rahim yang ditemui pemberita di sini berkata, rampasan pertama dilakukan pukul 5.22 petang ke atas sebuah bot dan seorang lelaki warga Thailand berumur 43 tahun ditahan menakala minyak diesel bersubsidi berjumlah 1,200 liter dirampas.

Pada pukul 5.45 petang pula, APMM menahan sebuah lagi bot dan menemui 850 liter diesel bersubsidi di dalamnya manakala dua lelaki rakyat Thailand berumur 71 dan 73 tahun ditahan.

Beliau berkata, bot nelayan kelas kecil sering digunakan penyeludup untuk melakukan kegiatan haram itu namun kegiatan mereka sentiasa dapat dipatahkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain