suria

APMM Tahan 21 Nelayan Vietnam, Rampas Dua Bot

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 21 nelayan warga Vietnam dan merampas dua buah bot laut dalam berhampiran pelantar minyak Malong, kira-kira 90 batu nautika dari pantai Kuantan semalam.

Ketua Penguatkuasaan APMM Daerah Kuantan, Kapten Abdul Aziz Idrus berkata, pencerobohan itu dikesan kira-kira 11 pagi ketika bot APMM, KM Lang yang diketuai Leftenan Hafizi Mohd Rafiq melakukan rondaan di kawasan tersebut.

"KM Lang mengesan sebuah bot sedang menangkap ikan di kawasan itu dan selepas diperiksa, bot itu didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran yang dikhususkan untuk bot nelayan tempatan.

"Sebuah lagi bot jenis yang sama turut berada di situ yang berfungsi membekalkan kira-kira 10,000 liter diesel kepada bot yang satu lagi itu," katanya.

Abdul Aziz berkata, pemeriksaan ke atas 21 awak-awak termasuk dua tekong yang berusia antara 18 hingga 40 tahun tersebut didapati mereka tidak mempunyai permit untuk memukat hasil laut di perairan dalam negara.

"Kita percaya mereka sudah berada di sini selama empat hari untuk memukat hasil laut sebelum dijual ke negara mereka dan ini merupakan penahanan nelayan yang ketiga selepas nelayan Thailand dan tempatan setakat ini tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain merampas dua bot tersebut, APMM turut merampas kira-kira 4,000 kilogram hasil tangkapan mereka dan membawa dua kapal yang menggunakan nombor pendaftaran KG91529 dan KG91530 itu ke jeti Geliga Slipway di sini untuk siasatan lanjut.

Abdul Aziz berkata, semua hasil ikan tersebut akan dilelong kepada peraih di sini dan dua buah bot tersebut masing-masing seberat 40 dan 70 tan akan turut dilelong dan akan dijadikan sebagai tukun tiruan jika tiada pembeli.

Kesemua nelayan Vietnam itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1995 yang jika sabit kesalahan, tekongnya boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak dikenakan denda RM100,000 seorang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain