suria

Anwar Sedar Situasi Politik Pulau Pinang Tetapi Enggan Bertindak - Tan

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Nibong Tebal daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Tee Beng berkata beliau percaya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyedari keadaan terkini politik di Pulau Pinang tetapi tidak bertindak untuk menanganinya.

"Saya rasa beliau tidak bertindak menanganinya... mungkin beliau fikir berkompromi (dengan DAP) adalah cara terbaik," kata Tan pada satu sidang akhbar di sini.

Tan berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada Anwar menyedari mengenai kebimbangan beberapa pemimpin PKR di Pulau Pinang terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, daripada DAP.

Pulau Pinang ditadbir oleh pakatan parti DAP, PKR dan PAS.

Terdahulu, Tan mendakwa Lim seorang yang angkuh dan harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Tan mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan menarik balik atau berhenti membuat kenyataan mengenai "keangkuhan" Lim meskipun menerima satu SMS daripada Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali supaya berbuat demikian. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain