suria

Tiga Agensi Bergabung Gempur Aktiviti Penyeludupan

KUANTAN: Tiga agensi penguatkuasa di negeri ini iaitu Polis, Kastam Diraja Malaysia Pahang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, hari ini bersetuju membentuk satu jawatankuasa pencegahan penyeludupan di peringkat negeri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga agensi penguatkuasa berkenaan akan bergabung dan menjalankan operasi secara bersepadu kerana ia dilihat sebagai langkah terbaik dalam membanteras kegiatan penyeludupan di Pahang.

"Pada tahun lepas, sebanyak sembilan kes penyeludupan terutama rokok dan haiwan eksotik berjaya ditumpaskan agensi-agensi terlibat di Pahang dan kita harap menerusi jawatankuasa ini, usaha lebih bersepadu dapat dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat interaksi antara tiga agensi berkenaan, di sini semalam.

Beliau berkata, dalam mesyuarat berkenaan ketiga-tiga agensi turut membincang, mengenal pasti aktiviti dan modus operandi yang sering digunakan penyeludup di kawasan perairan Pahang.

"Penubuhan jawatankuasa ini juga dilihat akan mengeratkan lagi hubungan kerjasama semua agensi terlibat," katanya.

Robiah berkata, keanggotaan jawatankuasa itu kelak akan dibuka kepada agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). - BERNAMA

Artikel Berikut

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

Artikel Lain