suria

RTM Promosi I-City Dalam Dokumentari Istimewa, Tarik Pelancong

SHAH ALAM: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menayangkan sebuah dokumentari istimewa bagi mempromosikan i-City, bandar digital seluas 29 hektar sebagai salah satu destinasi pelancongan yang baru, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie.

Beliau berkata dokumentari istimewa yang akan ditayangkan dalam slot RTM Galeri Perdana itu juga bagi membantu perkembangan dan mempromosikan industri komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) negara.

"Selain daripada mempromosikan i-City sebagai satu destinasi pelancongan yang baru, kita juga akan memaklumkan kepada penduduk tempatan dan orang asing bahawa i-City juga lokasi pilihan dari segi dekorasi perayaan yang selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pra-tayangan media festival persembahan lampu digital i-City menjelang sambutan Tahun Baru Cina di sini, malam tadi.

Heng berkata i-City menawarkan banyak peluang kerja sama kepada pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan untuk mempromosikan industri pelancongan dan menyokong perkembangan industri multimedia di Malaysia.

"Saya boleh katakan i-City menjadi satu model terbaik untuk kementerian jika pihak kementerian bercadang untuk memusatkan semua agensi dan jabatannya di dalam satu kawasan.

"Saya fikir banyak peluang untuk pihak kementerian menjalinkan kerjasama yang erat dengan i-City, melihat bagaimana kita boleh belajar berdasarkan pengalaman mereka malah kemungkinan menggunakan infrastruktur dan kemudahan mereka," katanya.

Heng berkata i-City yang berhasrat menjadi pusat siber berkelas dunia akan menjadi pusat siber Koridor Raya Multimedia (MSC) pertama yang diusahakan oleh pihak swasta yang akan diwujudkan di Shah Alam, selepas Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan seluruh lembah klang akan menjadi kawasan MSC pada Dis 2006.

Ditanya mengenai sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan tahun ini, Heng berkata Datuk Seri Rais Yatim akan mengumumkan tarikh, masa dan tempat sambutan itu selepas mesyuarat kabinet pada Rabu. BERNAMA

Artikel Berikut

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

Artikel Lain