suria

Permohonan Anwar Tangguh Perbicaraan Petang Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke pukul 2.30 petang ini untuk mendengar permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata jika tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan itu, Mahkamah Tinggi akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan penangguhan perbicaraan.

Asalnya, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar hari ini tetapi perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan itu.

Sama ada perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan telah berulangkali ditangguhkan itu akan berlangsung bergantung kepada Hakim Mohamad Zabidin yang kini perlu mendengar permohonan penangguhan itu.

Anwar, 63, tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau didakwa mengikut seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah dipenuhi oleh petugas media tempatan dan luar negara, anggota keluarga Anwar dan para penyokong serta orang ramai.

Turut hadir ialah bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim, bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng. Peguam Zamri Idrus menjadi peguam pemerhati bagi pihak Saiful.

Petugas media yang menunggu di luar mahkamah sejak pukul 7.30 pagi hanya dibenarkan masuk satu jam kemudian.

Anwar menghujahkan perbicaraan mesti ditangguh sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi menolak untuk membatalkan tuduhan liwat terhadap beliau.

Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh untuk tujuan itu.

Perbicaraan tuduhan liwat itu pada asalnya ditetapkan pada 25 Januari lepas tetapi ditangguh kepada hari ini sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan Anwar agar diberi akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaan beliau.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas menolak permohonan Anwar itu - BERNAMA

Artikel Berikut

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

Artikel Lain