suria

Permohonan Anwar Tangguh Perbicaraan Didengar Petang Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke pukul 2.30 petang ini untuk mendengar permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata jika tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan itu, Mahkamah Tinggi akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan penangguhan perbicaraan.

Asalnya, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar hari ini tetapi perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan itu.

Sama ada perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan telah berulangkali ditangguhkan itu akan berlangsung bergantung kepada Hakim Mohamad Zabidin yang kini perlu mendengar permohonan penangguhan itu.

Anwar, tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas prosiding ditangguhkan, pihak pembelaan yang terdiri daripada Karpal, Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C.V. Prabakharan, S. N. Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando bergegas ke Istana Kehakiman di Putrajaya Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi untuk mendapatkan tarikh awal bagi mendengar semakan itu.

Pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, dan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, dan Noorin Badaruddin turut bergegas ke sana.

Pada permulaan prosiding hari ini, Karpal memberitahu mahkamah bahawa beliau memfailkan permohonan semakan semula pada pukul 8.40 pagi ini menerusi Tetuan S.N.Nair and Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Karpal berkata beliau akan mengemukakan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan di hadapan Ketua Hakim Negara dan jika beliau membuat keputusan, Mahkamah Tinggi perlu terikat kepada keputusan itu.

Bagi meyakinkan hakim, Karpal meminta mahkamah membenarkan pihak pembelaan untuk menemui Ketua Hakim Negara bagi mendapatkan peluang terakhir untuk semakan kehakiman bagi membolehkan dokumen-dokumen utama bagi pembelaan. "Keputusan oleh Mahkamah Persekutuan dilakukan pada 29 Janyu. Pagi ini merupakan tarikh terawal yang membolehkan kami memfailkan permohonan semakan. Berilah kami peluang untuk menemui Tun Zaki dan kami akan kembali ke sini pada 2.30 petang," kata beliau. Mohamed Yusof berkata pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan, tetapi menegaskan bahawa pendakwaan sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan.

Dalam permohonan semakan yang difailkan bersama affidavit beliau, Anwar telah menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk mendengar dan membuat semakan keputusannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan.

Dalam affidavit yang diperakui beliau, Anwar berkata hakim-hakim Mahkamah Persekutuan telah tersalah arah diri mereka secara serius apabila merujuk permohonan kes jenayah bagi mendapatkan dokumen-dokumen utama yang dikehendaki termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful, rakaman kenyataan-kenyataan saksi daripada Mohd Saiful, nota pemeriksaan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, kenyataan oleh pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, dan daripada tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL), nota ahli kimia dan laporan perubatan serta rakamaan CCTV kondominium pada waktu kejadian.

Pada 29 Januari, panel Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Md Raus Sharif, semasa menolak rayuan Anwar mendapatkan dokumen, memutuskan setiap tertuduh dilarang memiliki dokumen sebelum perbicaraan kerana ia mengandungi keterangan yang akan dibuktikan pihak pendakwaan pada perbicaraan kes.

Kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan akan menemui Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff esok bagi membincangkan tentang perkara berkaitan permohonan semakan kes berkenaan.

Ketika ditemui wartawan, Karpal berkata Alauddin semasa dihubunginya menerusi telefon bersetuju menemui kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan, selepas kedua-dua pihak yang bergegas ke Istana Kehakiman di sini pagi ini gagal menemui Zaki.

Karpal berkata beliau dimaklumkan Zaki menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur manakala Alauddin mempunyai temu janji perubatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

Artikel Lain